fb fb fb fb fb

Dua wartawan RTM rangkul dua tempat kategori Audio Visual Terbaik

Maria Anak Isek (kiri) dan Hanna Adlint Nasatiun Ahmad menerima kategori Audio Visual Terbaik pada malam Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke-5

KUALA LUMPUR, 25 April- Dua wartawan RTM memenangi tempat kedua dan ketiga kategori Audio Visual Terbaik pada malam Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke-5 Tahun 2025 yang berlangsung di ibu negara

Maria Anak Isek dari Jabatan Penyiaran Sabah memenangi tempat kedua menerusi laporan Kedai Jujur, yang merupakan idea daripada Ketua Penolong Pengarah Seksyen TV Penyiaran Sabah Aris Arapa.

"Saya menerima amanah ini untuk membuat laporan segmen Sabah Sana yang disiarkan dalam Kami Bah Ini, rancangan bual bicara dari Sabah. Ia berkisar tentang usaha SPRM dalam menerapkan nilai integriti dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah.

"Kedai Jujur merujuk kepada kios yang diwujudkan di sekolah-sekolah yang menjual barangan tahan lama, peralatan sekolah dan keperluan harian tanpa penjual atau peniaga. Murid akan membayar harga barangan yang diambil dengan meletakkan wang di dalam kotak yang disediakan. Disinilah nilai integriti yang cuba diserapkan SPRM dan pihak sekolah.

"Kemenangan ini bukan milik saya seorang tetapi ia adalah milik pasukan yang sama-sama terlibat. Tahniah juga kepara RTM Sabah," kata Maria.

Manakala wartawan Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Hanna Adlint Nasatiun Ahmad memenangi tempat ketiga menerusi laporan Duit Kopi.

"Saya mengucapkan penghargaan kepada SPRM dan rakan media yang sama-sama terlibat dengan anugerah ini. Kemenangan ini adalah untuk pasukan yang sama-sama menjayakan pelaporan ini.

"Penganjuran anugerah sebegini mampu mengeratkan hubungan strategik dalam usaha menyampaikan maklumat dan dasar. Ia juga memberi motivasi kepada rakan media khususnya untuk berkarya lebih baik pada masa akan datang," kata Hanna Adlint.

Meskipun kedua-duanya pertama kali menyertai pertandingan seperti ini, ia disifatkan sebagai ruang untuk mereka terus berkarya dalam dunia penyiaran.

Kedua-duanya menerima hadiah disampaikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berupa sijil dan trofi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI