fb fb fb fb fb

Jangan mudah terpengaruh isu sensitif, fokus agenda pembangunan

Datuk Seri Anwar Ibrahim

IPOH, 25 April- Rakyat diseru agar tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu sensitif yang dimainkan secara tidak bertanggungjawab, sebaliknya rakyat perlu fokus kepada agenda pembangunan masa depan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sikap sedemikian dilihat akan melemahkan kekuatan negara serta menggugat keharmonian masyarakat.

"Jangan kita cuai, pandang ringan hal-hal ini. Jangan kita digugat dengan celoteh-celoteh, kita cakap tentang digital sekarang seperti kecerdasan buatan (AI). Harus ada kekuatan baru dalam melatih anak-anak kita, mendepani ancaman tarif selain bakat, kecekapan, kepintaran baru dalam kejuruteraan AI.

"Lihatlah kepada masa depan kita pandanglah kepada kepentingan anak-anak kita, apakah kita mampu kekalkan tahap ini atau kita lonjak laju. Saya jawab kita mampu," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Tahun 2025 Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak memberi fokus kepada usaha melahirkan generasi berdaya saing, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Pada masa sama Perdana Menteri menyatakan keyakinannya bahawa Malaysia mampu melonjak ke tahap lebih tinggi disokong pimpinan negara bersih, tegas dan tidak mudah digugat anasir yang melemahkan jentera pentadbiran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI