fb fb fb fb fb

Draf PTKL 2040 di fasa akhir, rujukan utama pembangunan Kuala Lumpur

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa/BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 April- Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040), yang bakal menjadi rujukan utama dalam merancang hala tuju pembangunan Kuala Lumpur, kini berada di fasa akhir semakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan draf tersebut akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

"Selepas itu, insya-Allah kita lalui proses itu melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan seterusnya kita boleh mewartakan. Insya-Allah, harapannya dalam masa terdekat inilah," kata Dr. Zaliha kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan MADANI kepada 77 badan sukan, di sini.

Terdahulunya, pewartaan PTKL 2040 ditunda bagi memberi ruang kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan lebih banyak sesi perbincangan dan rundingan dengan pihak berkepentingan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan tersebut serta turut menekankan pandangan rakyat dan semua pihak berkepentingan perlu diambil kira secara menyeluruh sebelum pelan berkenaan dimuktamadkan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM