fb fb fb fb fb

Nikmati perpaduan di Malaysia - Raja Permaisuri Agong

Foto Facebook Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 April- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menitahkan agar semua rakyat Malaysia mensyukuri nikmat perpaduan yang dikecapi di negara ini dan ia mesti terus dipertahankan.

Seri Paduka Baginda menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah Malaysia masih bertuah menikmati keamanan tatkala banyak tempat di serata dunia menghadapi konflik bersenjata dan peperangan sehingga menyebabkan kematian.

"Kita seharusnya bersyukur atas nikmat ini. Mungkin kerana kita tidak bertarung nyawa mengelakkan diri dari bom, ada dalam kalangan kita yang sengaja mengapi-apikan isu sehingga menegangkan perhubungan etnik berbeza di negara kita.

"Semoga Allah SWT terus melindungi negara kita dan memberi kita kedamaian serta perasaan kasih sayang di antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia," titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran itu.

Raja Zarith Sofiah turut berkongsi semula nukilan Seri Paduka Baginda pada 2018 menerusi hantaran sama iaitu mengenai isu tapak kuil India di Subang Jaya.

Seri Paduka Baginda menzahirkan kesedihan Seri Paduka Baginda sekeluarga berikutan pemergian Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, dan perasaan dukacita itu ditambah kerana berlakunya sikap tidak bertolak ansur dan salah faham antara kaum pada waktu itu.

Raja Zarith Sofiah turut berkongsi keakraban keluarga diraja itu dengan empat individu berbangsa India dan turut menzahirkan penghargaan kepada mereka iaitu keluarga diraja Datuk Subramanyam Balan dan Datuk Singaraveloo; Aide De Camp Sultan Johor Datuk Sugumaran, serta pegawai istana dikenali sebagai Mohan yang sentiasa membantu di saat memerlukan.

"Kami suami isteri mempunyai ramai sahabat-sahabat dari pelbagai bangsa.

"Tetapi, buat masa ini, kerana berlakunya ketegangan melibatkan kaum India di Malaysia, saya mencoret naskah pendek ini untuk menunjukkan bagaimana kami sekeluarga menghargai perkhidmatan, persahabatan dan kesetiaan keempat-empat orang ini. Ribuan terima kasih daripada keluarga saya kepada mereka," titah Seri Paduka Baginda.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI