fb fb fb fb fb

Pempengaruh disiasat sebar maklumat palsu libatkan Institusi Diraja

Rakaman percakapan diadakan di Ibu Pejabat MCMC Cyberjaya, 28 April 2025

CYBERJAYA, 28 April– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan siasatan telah dijalankan terhadap seorang pempengaruh media sosial susulan aduan yang diterima daripada orang awam.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan siasatan dibuat mengikut peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Menurut suruhanjaya itu, dua sesi rakaman percakapan telah diadakan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada 25 dan 28 April 2025 sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

Siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh terbabit melibatkan penyebaran maklumat palsu, termasuk dakwaan tidak berasas terhadap institusi Diraja.

Turut dikesan cubaan mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran, yang berpotensi menyebabkan kesakitan hati, penganiayaan, ugutan atau gangguan.

"Tindakan seperti ini boleh mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah serta mengundang ancaman keselamatan terhadap individu terlibat," jelas MCMC.

Suruhanjaya itu menegaskan, semua aduan akan disiasat secara profesional tanpa mengambil kira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.

MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi Diraja) atau bahan bersifat mengancam, mengganggu serta menceroboh privasi individu, kerana ia merupakan kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE