fb fb fb fb fb

N. Sembilan bangun dua pusat data, disokong lokasi strategik

Foto hiasan

SEREMBAN, 28 April- Kerajaan Negeri Sembilan dalam proses membangunkan dua pusat data di negeri itu disokong kedudukan geografi strategik berhampiran Lembah Klang.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dua pusat data tersebut ialah Pusat Data Hijau di Nilai oleh pelabur dari Amerika Syarikat dan Pusat Data Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di Bandar Springhill, Port Dickson oleh Gamuda Berhad.

Antara faktor lain menyumbang kepada pembangunan itu ialah jaringan lebuh raya yang baik serta memenuhi segala keperluan infrastruktur diperlukan sesebuah pusat data iaitu bekalan tenaga elektrik tinggi serta kapasiti air mencukupi.

"Pembangunan pusat data turut menyumbang pelbagai manfaat kepada warga tempatan dimana ianya bakal membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi terutamanya dalam bidang teknologi maklumat. Selain itu, ia turut menyumbang kepada jumlah pelaburan yang tinggi serta peningkatan kutipan cukai di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa, pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri ke-15 Negeri Sembilan di sini.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa satu Loji Rawatan Air baharu juga akan dibina bagi mengatasi masalah keperluan air di kawasan itu pada masa akan datang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI