CYBERJAYA, 28 April – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bertekad mencapai Zero Vision, iaitu matlamat sifar kemalangan, kecederaan dan kematian di tempat kerja bagi memastikan keselamatan pekerja sentiasa terjamin.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk mencapai sasaran tersebut, termasuk lebih 100 penambahbaikan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang dilaksanakan pada tahun lepas.
"Akibat kemalangan di tempat kerja bukan sahaja mendatangkan kerugian dari segi kewangan, tetapi juga kecederaan dan, yang paling tragis, kehilangan nyawa. Sebagai Menteri, saya telah melawat keluarga mangsa yang terkorban di tempat kerja dan saya rasa perkara ini harus dihentikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Universiti Multimedia, di sini.
Menurut data interim Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), kadar kecederaan dan kecederaan maut bagi tahun 2014 masing-masing adalah 3.10 per 1,000 pekerja dan 4.21 per 100,000 pekerja, berbanding 2.58 per 1,000 pekerja dan 2.58 per 100,000 pekerja pada tahun lepas.