fb fb fb fb fb

Belia terjebak dadah disaran cari bantuan tanpa malu - Hannah Yeoh

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto Bernama

DENGKIL, 28 April – Golongan belia yang terjebak dalam masalah penyalahgunaan dadah disaran untuk mengetepikan rasa takut dan malu serta segera mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihak kementerian akan memanfaatkan segala sumber yang ada untuk mempermudah golongan tersebut mendapatkan bantuan.

Ke arah itu, katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperhebatkan promosi rawatan pemulihan dadah yang ditawarkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kepada golongan belia.

“Kita semua sedar bahawa daripada lebih 190,000 individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, 60 peratus daripadanya iaitu sekitar 117,000 adalah golongan belia. Oleh sebab itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah proaktif untuk memberi kesedaran kepada belia yang telah menggunakan dadah tentang cara untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di sini.

Tambah Hannah, rawatan pemulihan itu penting kerana belia merupakan aset negara yang wajar diberikan peluang kedua, khususnya untuk menjadi tenaga kerja yang lebih produktif dalam sektor pekerjaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN