MELAKA, 28 April – Kerajaan negeri Melaka memberi jaminan bahawa status Tanah Adat Melaka (MCL) kekal terpelihara dan tidak akan dipindahkan hak miliknya kepada mana-mana syarikat atau individu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sejak penubuhan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) pada 1991, sejumlah 42,000 hektar MCL milik masyarakat Melayu Melaka telah dimajukan tanpa menjejaskan hak milik asalnya.
“Setiap tahun permohonan pertukaran status milik MCL dilaksanakan, namun tanah-tanah tersebut kekal sebagai tanah adat dan tidak dipindah milik kepada mana-mana pihak. Sehingga kini, keluasan tanah MCL dari 1992 hingga 2025 berjumlah 105,614 ekar dan kesemua kawasan ini kekal milik masyarakat Melayu Melaka serta dibangunkan bersama PERTAM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban pada Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan Melaka Tengah mencatatkan kawasan tanah adat terbesar yang dimajukan PERTAM iaitu lebih 19,000 hektar.
Diikuti Alor Gajah melebihi 11,000 hektar dan Jasin dengan keluasan lebih 10,000 hektar.
Katanya, pembangunan tanah-tanah adat ini akan terus dipantau agar manfaatnya kembali kepada masyarakat setempat tanpa menggadaikan hak milik asal.