GUA MUSANG, 28 April – Penantian hampir lima dekad peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) untuk memiliki tanah mereka berakhir hari ini, apabila kerajaan memulakan proses pindah milik tanah secara berperingkat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memulakan penyerahan geran tanah kepada peneroka selepas KESEDAR membayar premium tanah kepada kerajaan negeri.
“Pengerusi KESEDAR minta perkara ini sejak tahun 1978. Hari ini, ia menjadi kenyataan, hari bersejarah untuk peneroka di Gua Musang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri KESEDAR 2025 di sini.
Bagi fasa pertama, seramai 127 peneroka di lima RKT akan menerima pemilikan tanah masing-masing, melibatkan RKT Sungai Asap, RKT Renok Baru, RKT Paloh 1, RKT Paloh 3 dan RKT Chalil.
Sementara itu, fasa seterusnya akan melibatkan pemindahan hak milik kepada 2,140 peneroka di sembilan lagi RKT di bawah KESEDAR.
Ahmad Zahid menegaskan, keputusan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk menunaikan janji kepada rakyat Kelantan, khususnya di Gua Musang.
“Demi rakyat, kita beri kelulusan ini. Ini janji kita untuk orang negeri dan orang Gua Musang, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, beberapa peneroka menyifatkan langkah itu sebagai mimpi yang menjadi kenyataan selepas sekian lama menanti hak milik tanah mereka.
“Hari ini sejarah yang menandakan kerajaan laksanakan apa yang dijanji,” kata peneroka, Hassan Salleh.
Seorang lagi peneroka, Samsudin Yacob turut meluahkan rasa syukur dan teruja.
“Perasaan amat gembira sekali, memang hak yang ditunggu-tunggu,” ujarnya.
Bagi A. Rahman Yusuf, penantian itu bukan sekadar pemilikan tanah, tetapi satu anjakan kehidupan untuk para peneroka.
“Amat-amat gembira, memang ini yang kami harapkan,” katanya.