fb fb fb fb fb

NEGERIfm perkasa kandungan digital, tarik lebih ramai pendengar

Majlis Sambutan Hari RTM ke-79 dan Majlis Sambutan Hari Raya di Kompleks Penyiaran Tunku Muhammad

SEREMBAN, 28 April – Jabatan Penyiaran Malaysia (NEGERIfm) komited memperkasa kandungan di platform digital sebagai usaha kekal relevan dalam dunia penyiaran dan menarik lebih ramai pendengar, khususnya generasi muda.

Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Suhana Suratman berkata, pelbagai pembaharuan sedang dirangka termasuk penghasilan segmen seperti podcast, dokumentari mini, dan travelog untuk disiarkan menerusi media sosial.

“Seperti yang kita semua ketahui, platform digital memainkan peranan sangat penting ketika ini kerana sebahagian besar penonton dan pendengar kita sudah beralih arah ke media sosial.

“NEGERIfm akan lebih proaktif melaksanakan program-program berbentuk digital yang bukan sahaja menarik tetapi juga merapatkan jurang dengan komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari RTM ke-79 dan Majlis Sambutan Hari Raya di Kompleks Penyiaran Tunku Muhammad, di sini hari ini.

Tambah Suhana, selain pengukuhan kandungan digital, NEGERIfm turut komited meneruskan aktiviti turun padang bagi mendekati masyarakat menerusi pelbagai program yang dirancang dari semasa ke semasa.

Majlis turut diserikan dengan ucapan isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Wan Hasni Wan Yusof yang mengucapkan selamat menyambut Hari RTM ke-79 serta penghargaan kepada warga penyiaran atas komitmen berterusan.

Turut memberikan ucapan khas, artis tempatan seperti Waris dan Ara Johari yang menyampaikan penghargaan serta ucapan selamat kepada RTM.

GRACE AISYAH KEDAYAN