MADINAH, 29 April – Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya mematuhi peraturan had muatan bagasi yang ditetapkan syarikat penerbangan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa proses daftar masuk ke Tanah Suci.
Pengurus Terminal Madinah, Muhammad Fairus Ahmad Aripin berkata, setiap jemaah hanya dibenarkan membawa bagasi mengikut spesifikasi yang ditetapkan, termasuk berat maksimum serta larangan membawa barangan berbahaya.
“Jemaah diingatkan supaya tidak meletakkan power bank di dalam bagasi yang didaftar masuk. Selain itu, mereka juga dinasihatkan untuk tidak membawa ubat-ubatan yang mengandungi bahan terlarang atau dadah berbahaya tanpa pengesahan perubatan, kerana ia boleh mengundang tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
“Pastikan juga beg dikunci dan diseal dengan baik untuk mengelakkan kehilangan barang ketika penerimaan bagasi,” katanya.
Tambah beliau, pematuhan terhadap peraturan ini amat penting bagi menjamin keselamatan penerbangan serta memastikan kelancaran proses daftar masuk jemaah.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa seramai 31,600 jemaah melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines pada Musim Haji 1446H/2025 ini.
Pasukan Unit Terminal Madinah yang terdiri daripada 14 petugas telah bersiap sedia menyambut kehadiran kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang dijangka tiba pada pukul 7.50 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah.