SEPANG, 29 April- Seramai 284 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama berlepas ke Tanah Suci bagi Musim Haji 1446 Hijrah tahun ini.
Penerbangan itu menggunakan pesawat Malaysia Airlines MH8050 dijadualkan berlepas dari KLIA pada pukul 4.05 pagi tadi dan tiba di Madinah pada pukul 7.50 pagi waktu Arab Saudi hari sama.
Majlis pelepasan kumpulan jemaah pertama itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, bersama barisan pengurusan Lembaga Tabung Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Alhamdulillah, 284 jemaah haji yang berlepas awal pagi ini merupakan kumpulan pertama melibatkan stesen Alor Setar di Kedah dan Sepang di Selangor. Ada seramai dalam 30 atau 40 petugas haji juga yang terbang bersama dengan jemaah pada awal pagi ini.
"Sejak 24 April lalu, petugas-petugas haji telah mula diterbangkan ke tanah suci untuk memulakan kerja-kerja awal di sana dan juga menerima jemaah haji termasuk yang kita hantar pada awal pagi ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1446 Hijrah tahun 2025.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci bagi musim ini.
Beliau turut mengingatkan jemaah agar menjaga nama baik negara, mematuhi undang-undang Arab Saudi serta memperbanyakkan amal ibadah sepanjang berada di tanah suci.
Selain KLIA dan Alor Star, enam lagi stesen berlepas turut beroperasi ialah di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Bayan Lepas, Senai, Kuching dan Kota Kinabalu.