KOTA BHARU, 28 April – Lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kijang, di sini, petang tadi.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.48 petang sebelum tiba di lokasi pada pukul 5.02 petang.
Menurutnya, seramai 35 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, BBP Kota Darul Naim serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kota Jembal dikerahkan ke lokasi bersama enam jentera dan dua tangki air.
“Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.20 petang. Keseluruhan melibatkan lapan rumah, namun kita berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada musnah sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelasnya, faktor cuaca panas dan berangin selain kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain menyebabkan api merebak dengan cepat.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut dan siasatan mengenai punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dijalankan.
Letupan kuat kejutkan mangsa
Sementara itu, seorang mangsa, Mat Hussin Sulaiman, berkata ketika kejadian dia sedang berehat selepas solat Asar sebelum terdengar letupan kuat dari arah rumah jiran.
“Saya duduk santai atas buaian, lepas Asar… tiba-tiba dengar letupan kuat. Isteri suruh tengok, bila saya keluar, nampak asap tebal dah memenuhi rumah jiran,” katanya.
Beliau segera mengarahkan isteri dan tiga anaknya keluar menyelamatkan diri.
Seorang lagi mangsa, Suliman Abdullah, berkata dia tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar mengisi minyak motosikal.
“Saya baru balik isi minyak motor, tengok rumah dah hangus terbakar. Tak sempat selamatkan apa-apa, hanya tinggal baju sehelai di badan,” katanya dengan nada sedih.