fb fb fb fb fb

Kolej Poly-Tech MARA Gua Musang dibuka semula

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

GUA MUSANG, 28 April – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Gua Musang yang ditutup lebih lima tahun lalu bakal dibuka semula dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melaksanakan pembukaan semula kolej tersebut, dengan kerja-kerja awal pemulihan dijangka bermula seawal bulan hadapan.

Beliau berkata, KPTM Gua Musang akan menawarkan kursus-kursus baharu yang relevan dengan kehendak pasaran, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi seperti robotik dan automotif, bagi memenuhi keperluan industri di negeri ini.

“KPTM Gua Musang ditutup pada 2019 kerana kekurangan pelajar akibat kekangan pembiayaan dan kursus yang kurang sesuai.

"Kali ini, kita pastikan kursus yang ditawarkan mampu menarik minat pelajar sekitar Gua Musang dan seluruh Kelantan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata perbincangan bersama Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga telah diadakan.

"Lokasi pusat pengajian itu akan ditentukan selepas perbincangan bersama KESEDAR bagi memastikan ia memenuhi keperluan setempat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut mengumumkan kerajaan bersetuju membina jambatan baharu di Batu 10, Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, dengan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi kemudahan penduduk setempat.

GRACE AISYAH KEDAYAN