fb fb fb fb fb

Jemaah diingat jaga adab di Raudah, elak leka dengan gajet

Jemaah diingatkan agar sentiasa menjaga tingkah laku, mengelakkan gangguan kepada jemaah lain dan memanfaatkan sepenuhnya peluang beribadah

MADINAH, 28 April Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya sentiasa menjaga adab dan tertib sepanjang berada di Tanah Suci, khususnya ketika menziarahi Raudah di Masjid Nabawi, bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan lebih khusyuk dan tenang.

Pengurus Ibadat Ziarah Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin Yusof, berkata kecenderungan segelintir jemaah yang leka menggunakan telefon bimbit untuk merakam gambar atau membuat kandungan media sosial di Raudah boleh mengganggu keikhlasan serta tumpuan beribadah.

“Apabila masuk ke Masjid Nabawi, eloklah simpan dahulu telefon bimbit. Ambillah peluang untuk solat sunat dua rakaat, solat hajat dan bertafakur memanjatkan doa di Raudah tanpa gangguan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi taklimat kepada jemaah haji Malaysia di Madinah Al Munawarah, hari ini.

Raudah, kawasan yang dikenali sebagai Taman Syurga, menjadi dambaan umat Islam di seluruh dunia untuk beribadah dan menziarahi makam Rasulullah SAW.

Sejak 2022, Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan Aplikasi Nusuk sebagai platform utama memudahkan jemaah merancang perjalanan ke Mekah dan Madinah, termasuk bagi mendapatkan permit ziarah ke Raudah.

 

Penolong Penerbit TV Alhijrah, Shahrul Anwar Hamid (kiri) dan Wartawan RTM Muhammad Rastwin Stia (kanan) antara petugas media membuat liputan musim haji jemaah Malaysia di bawah pengurusan Tabung Haji

Penolong Penerbit TV Alhijrah, Shahrul Anwar Hamid, berkongsi pengalamannya menggunakan aplikasi tersebut yang sangat membantu melancarkan urusan jemaah.

“Aplikasi Nusuk sangat memudahkan jemaah kerana menyediakan pelbagai maklumat seperti bacaan Al-Quran, waktu solat dan urusan permit masuk ke Raudah. Alhamdulillah, pengalaman kali ketiga menziarahi Raudah ini sangat menyentuh hati dan sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.

Sebagai tetamu Allah, jemaah diingatkan agar sentiasa menjaga tingkah laku, mengelakkan gangguan kepada jemaah lain dan memanfaatkan sepenuhnya peluang beribadah di tempat yang mulia ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN