fb fb fb fb fb

Malaysia-Vietnam sepakat bantuan kemanusiaan Myanmar diteruskan tanpa sekatan

PM Anwar telefon PM Vietnam bincang isu Myanmar dan tarif perdagangan.

KUALA LUMPUR, 28 April – Malaysia dan Vietnam sepakat bahawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar perlu diteruskan tanpa sebarang sekatan, bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di negara bergolak itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui dalam perbualan telefon beliau bersama rakan sejawatannya dari Republik Sosialis Vietnam, Pham Minh Chinh, hari ini.

“Dalam hubungan ini, adalah penting supaya semua pihak meneruskan gencatan senjata bagi memastikan keselamatan pekerja bantuan kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perbincangan turut menyentuh mengenai tindakan bersama ASEAN dalam menangani krisis Myanmar serta tarif perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap negara-negara serantau.

Mengenai isu tarif perdagangan, Anwar memaklumkan Malaysia telah menghantar wakil menerusi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mencari penyelesaian yang saling menguntungkan kedua-dua pihak.

“Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia memohon pertimbangan Amerika Syarikat supaya Negara-Negara Anggota ASEAN diberi ruang menggunakan mekanisme hubungan dua hala dalam mencapai penyelesaian yang baik berhubung isu tarif timbal balas ini,” jelasnya.

Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa berlandaskan prinsip saling menghormati, kerjasama, dan kesejahteraan bersama.

“Semoga segala usaha ini membuahkan hasil yang membawa keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat di seluruh rantau,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN