fb fb fb fb fb

Jualan Nismilan Prihatin, beri manfaat kepada 2,500 individu sebulan

Foto fail/ BERNAMA

SEREMBAN, 28 April- Kerajaan Negeri Sembilan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan akses perolehan beras tempatan oleh rakyat melalui inisiatif penjualan Beras Perpatih menerusi Jualan Nismilan Prihatin.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, program jualan diadakan pada setiap pagi Jumaat di lapan kawasan parlimen secara bergilir, dengan purata jualan sebanyak 300 kampit beras lima kilogram, pada harga RM13.00 sekampit setiap minggu.

Secara keseluruhan, inisiatif itu menyediakan 48 tan beras dan memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 rakyat setiap bulan.

"Secara keseluruhanya, sebanyak 624 metrik tan beras telah dijualkan dalam Program Jualan Nismilan Prihatin sepanjang tempoh lebih
kurang 13 bulan yang lalu.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan orang ramai memanfaatkan program jualan ini sebagai salah satu usaha kerajaan negeri dalam memastikan rakyat memperoleh bekalan beras pada harga yang berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker, pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 Negeri Sembilan di sini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI