fb fb fb fb fb

RM41.5 juta WPP disalur kepada 27,674 pelajar UA dan Politeknik

Setiap pelajar layak menerima RM1,500 sebagai bantuan awal daripada PTPTN bagi persediaan memasuki institusi pengajian tinggi / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 20 September – Seramai 27,674 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik bagi sesi Oktober ini ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM41.5 juta oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

PTPTN menerusi kenyataan memaklumkan, setiap pelajar layak menerima RM1,500 sebagai bantuan awal bagi persediaan memasuki institusi pengajian tinggi.

"Pelajar boleh menyemak status tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN, dan seterusnya membuat penebusan di semua cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara bermula 24 September 2025," menurut kenyataan itu.

Penebusan hanya boleh dilakukan oleh pelajar sendiri dengan membawa surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN serta MyKad. Wakil tidak dibenarkan untuk urusan tersebut.

Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan, iaitu mulai 24 September hingga 23 November 2025.

WPP ditawarkan kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima kemudahan tersebut semasa permohonan kemasukan ke IPTA menerusi UPUOnline atau portal rasmi UA.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar mestilah merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi syarat kelayakan lain yang ditetapkan PTPTN.

Setakat 31 Ogos 2025, seramai 990,646 pelajar telah menerima manfaat WPP sejak ia diperkenalkan pada tahun 1999, dengan jumlah keseluruhan peruntukan melebihi RM1.46 bilion.

Di Pulau Pinang, seramai 1,380 pelajar menerima tawaran WPP melibatkan jumlah RM2.07 juta, termasuk 88 pelajar di kawasan Bukit Gelugor dengan peruntukan RM132,000.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata kemudahan WPP merupakan bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar terutamanya pada peringkat awal pengajian.

“Semoga bantuan ini menjadi dorongan untuk pelajar melangkah dengan lebih yakin dalam menimba ilmu dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan itu.

PTPTN turut mengingatkan pelajar untuk membuat permohonan pinjaman pendidikan secara dalam talian menerusi aplikasi myPTPTN, mengikut jadual permohonan yang ditetapkan oleh UA atau Politeknik masing-masing.

Pelajar juga diwajibkan mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebelum membuat permohonan pinjaman. Akaun Simpan SSPN boleh dibuka secara terus melalui aplikasi myPTPTN.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN