fb fb fb fb fb

RM30 juta diperuntuk bagi Kebun Komuniti di kawasan KRT

SERDANG, 7 Ogos- RM30 juta diperuntukkan bagi program Kebun Komuniti (Kebuniti) yang dibangunkan di kawasan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) terpilih di seluruh negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata Kebuniti dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Melalui program itu, KRT akan membantu menyemarakkan lagi program Kebun Komuniti yang sudah dilaksanakan MAFI.

"Kita ada 8,330 KRT di seluruh negara dan kita nak wujudkan program makanan yang boleh diambil bahagian oleh KRT untuk kita tanam sayur-sayuran yang mungkin boleh dijual di peringkat taman ataupun kawasan sekitarnya.

"KRT yang duduk di kawasan bandar dekat rumah pangsa atau rumah atas tanah yang kita boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, boleh tanam sayur-sayuran," katanya.

(Datuk Halimah Mohamed Sadique)

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Laman Agro-Food Florikultur di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini hari ini.

Jelasnya, melalui Kebuniti itu KRT yang mempunyai kawasan bagi bercucuk tanam terutama di kawasan bandar akan dibantu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Datuk Norison Ramli berkata buat permulaan 111 KRT sudah dikenalpasti untuk melaksanakan program Kebuniti.

Kebanyakan daripada 111 KRT itu sudah mempunyai kebun dan kawasan yang sesuai bagi membangunkan Kebuniti.

Media Baharu