fb fb fb fb fb

RM2 juta diperuntukkan bagi Program Perlis Pahadoi

PADANG BESAR,14 Julai - Sebanyak RM2 juta disediakan sepanjang tahun ini bagi melaksanakan Program Perlis Pahadoi iaitu program bantuan secara bersasar kepada golongan yang memerlukan seluruh Perlis.

Jumlah berkenaan sebagai tambahan kepada peruntukan berjumlah RM25.8 juta yang diperuntukkan pada tahun 2021 dan RM12.7 juta pada tahun 2020.


(Exco Kebajikan dan Bantuan Bencana Negeri, Ruzaini Rais)

Menurut Exco Kebajikan dan Bantuan Bencana Negeri, Ruzaini Rais, bagi tempoh 6 bulan tahun ini, sebanyak 400 pesakit terlantar, warga emas, orang kurang upaya dan asnaf telah menerima sumbangan menerusi Program Perlis Pahadoi.

Bantuan yang disalurkan kepada golongan berkenaan termasuklah bakul makanan asas, susu tepung, lampin pakai buang, peralatan memulakan perniagaan dan kerusi roda.

"Mereka yang kita rasa mereka yang kurang bernasib baik iaitu sakit terlantar, yang sakit kronik untuk kita ziarah dan kita bawa sama dengan pihak JKM lah untuk menilai, untuk memberi bantuan kepada mereka yang kita rasa layak dapat bantuan tersebut," katanya ketika mengadakan Ziarah Kasih Perlis Pahadoi sekitar Beseri bagi menyantuni pesakit terlantar bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri.

Program Perlis Pahadoi ini diharap dapat meringankan beban para penerima dalam menjalani kehidupan seharian selain meningkatkan ekonomi rakyat terutamanya menerusi polisi Perlis bebas niaga serta keprihatinan pemimpin setempat kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Media Baharu