fb fb fb fb fb

RM2.08 juta insentif kepada pengguna e-wallet Bazar Ramadan Rahmah

KUANTAN, 19 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan RM2.08 juta sebagai insentif kepada pengguna e-wallet yang hadir ke Bazar Ramadan Rahmah sepanjang bulan mulia itu.

Peruntukan tersebut bagi meningkatkan kadar penggunaan e-tunai di samping mengurangkan kos sara hidup.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, seramai 96,000 pengunjung Bazar Ramadan Rahmah di 16 negeri termasuk Wilayah Persekutuan dan Labuan berpeluang mendapat sekali insentif sebanyak RM20 menerusi e-wallet masing-masing.

Tambahnya, pemberian e-wallet itu akan diagihkan sepanjang bulan Ramadan kepada 6,000 pengunjung Bazar Ramadan Rahmah di setiap negeri.

"Sekarang ini e-wallet terbuka kepada pengunjung Bazar Ramadan Rahmah dan kita sedang membuka kepada rakan strategik yang menawarkan platform untuk e-wallet," katanya.

Jelasnya, daripada 50 Bazar Ramadan Rahmah yang disasarkan kementerian, sebanyak 29 buah bazar di seluruh negara telah berdaftar dan akan bermula seawal 23 Mac ini di lokasi yang didiami golongan B40.

Setiap bazar mempunyai 30 buah gerai yang mana peniaga menawarkan penjimatan makanan sebanyak 30% dan Menu Rahmah.

(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh)

Bazar Ramadan Rahmah juga akan dipantau menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan harga terkawal.

Jelasnya, kementerian menjalin kerjasama erat dan sentiasa berunding bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan kos sara hidup dapat dikawal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bubur Lambuk anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang di Tapak Pasar Tani UTC, di sini.

Sebanyak 6,000 bekas diagihkan kepada peniaga dan pengunjung pasar tani.

Media Baharu