PUTRAJAYA, 30 Jun – Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan telah menyaksikan pelaburan RM11 bilion disalurkan ke dalam sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV) sehingga 30 Jun tahun ini.
Ini sekali gus menjadi potensi pertumbuhan seperti semikonduktor, peralihan tenaga serta inisiatif memperkasa komuniti dan pembangunan bakat tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program GEAR-uP yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu itu, merupakan sebahagian daripada kerangka Ekonomi MADANI.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, program GEAR-uP memacu reformasi sosioekonomi negara selain menyasarkan penggerakan pelaburan RM120 bilion dalam tempoh lima tahun.
"GEAR-uP turut berjaya memperoleh komitmen daripada 34 Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menetapkan gaji minimum wajar RM3,100 sebulan bagi 153,000 pekerja.
"Ini sekali gus memenuhi janji untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menerajui agenda nasional bagi reformasi gaji.
“Beginilah caranya kita memanfaatkan kekayaan institusi negara dengan menyalurkannya untuk memperkasa masyarakat serta membina ekosistem industri bernilai tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sejak dilancarkan, enam GLIC utama seperti Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wan Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Tabung Haji (TH) telah melabur lebih RM800 juta dalam ekosistem semikonduktor, membangunkan hab industri hijau dan pintar di Kerian dan Pulau Carey, serta menyokong lebih 50 syarikat dan dana tempatan melalui pelaburan modal teroka.
Selain itu, lebih RM200 juta disalurkan kepada program biasiswa dan pembangunan bakat, memberi manfaat kepada 8,000 belia B40 dan lebih 700,000 rakyat tempatan melalui pelaburan sosial komuniti.
Antara inisiatif masa depan termasuk:
- Pelaburan tambahan RM11 bilion oleh semua GLIC;
- PNB bimbing 10 syarikat Bumiputera yang berpotensi termasuk syarikat portfolio Ekuinas;
- Pelaburan KWSP dalam penjagaan kesihatan warga emas;
- Pembangunan farmaseutikal oleh LTAT dan PNB;
- Pelaburan Khazanah dalam rantaian nilai semikonduktor;
- Agihan RM6 bilion oleh KWAP menerusi Dana Pemacu dan pelancaran Dana Perintis Siri 2.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata GEAR-uP bukan sekadar penyaluran modal tetapi satu penjajaran strategik untuk merealisasikan transformasi ekonomi secara inklusif dan mampan.
“Kami membuka peluang bernilai RM120 bilion untuk memajukan industri masa depan serta meningkatkan pendapatan rakyat secara menyeluruh,” katanya