fb fb fb fb fb

TikTok diminta tampil beri penjelasan berhubung isu PK Battle

Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media selepas membuat lawatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kubang Semang, Yayasan Aman, Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM, 30 Jun- Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan pengendali platform Tiktok memberi penjelasan segera berhubung personal knockout battle atau ‘PK Battle’ dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan golongan terbabit yang berbelanja sejumlah wang untuk membeli hadiah semata-mata pertandingan tersebut turut mencetuskan kegusaran dalam kalangan ibu bapa.

"Ini menjadi satu masalah yang telah dilaporkan media dan kami pandang perkara ini secara serius. Memandangkan TikTok telah dilisenkan maka mereka perlu tampil untuk memberi penjelasan dan menyatakan apa langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

"Itu antara sebab kenapa pihak kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa anak-anak bawah 13 tahun tidak boleh memiliki akaun TikTok, Instagram dan mana-mana media sosial.

"Tidak mustahil golongan ini mudah untuk mengikuti dan terjebak trend-trend seperti 'PK Battle' tanpa mereka benar-benar memahami kesan kepada diri mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas membuat lawatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kubang Semang, Yayasan Aman di sini.

Lawatan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Sebelum ini, media melaporkan Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibarahim di Istana Negara pada 28 Mei lalu supaya penggunaan ciri PK Battle di aplikasi TikTok diharamkan dalam negara.

Pertubuhan itu juga mendesak pihak polis dan MCMC agar segera mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti tersebut yang dilihat sebagai 'bom jangka' sosial negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI