fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi PM ke Itali, Perancis, Brazil teroka potensi perdagangan

Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 30 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-17 bermula 1 hingga 7 Julai ini.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, lawatan Perdana Menteri ke tiga pusat ekonomi utama dunia iaitu Rom, Paris dan Rio de Janeiro merupakan usaha bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang baharu dalam sektor perdagangan, kebudayaan, teknologi dan pendidikan.

Dalam rangka lawatan itu juga, Datuk Seri Anwar dijadual bertemu pemimpin tertinggi ketiga-tiga negara, selain bakal menghadiri siri perjumpaan Meja Bulat Perniagaan untuk menghimpunkan peneraju industri.

"Ketiga-tiga pasaran ini secara kolektif merekodkan nilai dagangan dua hala berjumlah RM50.91 bilion pada tahun lalu dan menawarkan peluang pertumbuhan pesat dalam sektor ekonomi, kebudayaan, teknologi serta pendidikan.

Kalau boleh saya pecahkan di sini di mana untuk Itali kita merekodkan nilai dagangan RM14.61 bilion, Perancis RM15.95 bilion dan Brazil RM20.35 bilion," katanya dalam Sidang Media Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Lawatan akan disertai delegasi perniagaan Malaysia termasuklah, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Khazanah Nasional Bhd, Sunway dan Maybank sebagai sebahagian usaha memacu kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta di peringkat antarabangsa.

Dialog bersama pemimpin komuniti Islam serta pertemuan diaspora Malaysia juga akan dilakukan bagi menonjolkan jalinan insani serta bakat negara di Eropah.

Dalam pada itu, Tunku Nashrul turut menjelaskan, lawatan kali ini bakal menggunakan Penerbangan Sewaan Khas atas faktor keperluan logistik, penjimatan kos dan kecekapan jadual lawatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri pernah mengadakan lawatan rasmi ke Perancis dan Brazil tahun lalu masing-masing pada Mac dan November, manakala lawatan rasmi ke Itali merupakan lawatan sulung beliau sejak menyandang jawatan Perdana Menteri.

Sementara itu Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri dan delegasi akan tiba di Kuala Lumpur pada 9 Julai dan terus menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada hari yang sama.

“Kerajaan MADANI menaruh harapan tinggi agar rangkaian pertemuan di Rom, Paris dan Rio de Janeiro ini akan memperkasa persahabatan, memacu perdagangan, dan membuka limpahan peluang baharu demi kesejahteraan rakyat Malaysia serta seluruh warga ASEAN.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM