BUKIT MERTAJAM, 30 Jun- Tahap kualiti perkhidmatan internet sepanjang laluan dari PICCA@Arena Butterworth ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kubang Semang menerusi ujian pandu atau drive test yang dilaksanakan menggunakan bas tiada masalah besar.
Menurut Datuk Fahmi, secara keseluruhan terdapat sedikit gangguan apabila berlaku peralihan rangkaian daripada 4G ke 5G di beberapa kawasan.
Perjalanan mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit itu melibatkan beberapa ujian kelajuan dan panggilan yang dilakukan menggunakan aplikasi Nexus bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memantau prestasi liputan internet.
"Ada beberapa aspek yang saya telah minta diteliti iaitu melibatkan pertukaran dari 4G kepada 5G. Kita dapati kadangkala ada sedikit gangguan dan kita lihat perkara ini berlaku di beberapa tempat apabila berlaku perubahan rangkaian.
"Jadi kita akan minta supaya pihak MCMC menyusul dengan perbincangan teknikal bersama semua syarikat telekomunikasi untuk melihat aspek teknikal yang boleh kita manfaatkan untuk pastikan tidak berlaku apa-apa gangguan kualiti perkhidmatan terutama bila berubah dari 4G ke 5G," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di NADI Kubang Semang di sini.