fb fb fb fb fb

PM adakan lawatan sulung ke Itali selama 3 hari bermula esok

Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam (gambar kecil)

KUALA LUMPUR, 30 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulung ke Itali selama tiga hari, bermula esok hingga 3 Julai, atas jemputan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, kata Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam.

Fokus utama lawatan ini jelasnya adalah untuk memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua negara yang turut disertai oleh lima menteri Kabinet iaitu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri  Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan juga pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berkaitan serta satu delegasi korporat melibatkan 13 syarikat daripada pelbagai sektor dari Malaysia.

Menurut Datuk Zahid, lawatan ini dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan, tenaga boleh baharu, dan agro-komoditi.

Antara pengisian utama lawatan termasuk majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Rome, mesyuarat meja bulat Malaysia-Italy Economic Partnership yang menghimpunkan lebih 50 syarikat dari kedua-dua negara, serta pertemuan bersama tokoh-tokoh Islam tempatan.

"Pada tahun 2024, jumlah perdagangan Malaysia adalah sebanyak RM14.61 bilion dimana jumlah eksport Malaysia ke Itali pada tahun tersebut adalam RM6.71 bilion dan import Malaysia dari Itali adalah RM7.89 bilion. Secara keseluruhan, Itali merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia di kalangan negara-negara Eropah," katanya dalam satu sidang media secara maya.

Kemuncak lawatan adalah pertemuan dua hala antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Giorgia Meloni, berkaitan isu serantau, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, dan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Malaysia dijangka turut disentuh.

Lawatan ini dijangka memberi momentum baharu ke arah hubungan strategik dan komprehensif antara Malaysia dan Itali.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM