fb fb fb fb fb

RM100 juta diperuntuk laksana Kampung Angkat MADANI

Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 11 Julai- RM100 juta diperuntuk bagi melaksana 42 buah Kampung Angkat MADANI di seluruh negara dengan agihan peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta bagi setiap kampung.

Daripada jumlah tersebut lebih RM86 juta telah disalur Kementerian Kewangan kepada Kementerian dan agensi yang terlibat.

Menteri Kewangan Dua, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dua jenis penumpuan yang diberikan bagi pelaksanaan itu antaranya projek fizikal yang meliputi penambah baik jalan serta lampu kampung, bekalan air dan elektrik dan kemudahan capaian internet.

Selain Projek Bukan Fizikal melibatkan bantuan seperti pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), eKasih, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), perkhidmatan bergerak kerajaan.

"Kampung yang terpilih akan dijadikan penanda aras terbaik dalam membantu Kerajaan merapatkan jurang antara desa dan bandar. Ini termasuklah memperkasakan ketua mukim atau jawatankuasa kampung dan komuniti setempat.

"...melalui pendekatan gotongroyong serta memudahkan tatacara perolehan dan kewangan untuk membantu melengkapkan projek infrastruktur di kampungkampung yang terpilih," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali di sini.

Tambahnya, Kampung Angkat MADANI mula diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 bertujuan
bagi merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar serta memastikan kemudahan asas dapat dipertingkatkan.

Manakala kriteria yang menjadi keutamaan termasuklah kawasan kampung yang mempunyai liputan kemudahan bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI