fb fb fb fb fb

MOIES digunakan sepenuhnya urus data PAJSK sekolah bawah KPM

Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (MOIES) digunakan sepenuhnya bagi mengurus data skor Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi sesi persekolahan 2023/2024.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, sistem itu dibangunkan bagi menggantikan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) yang diguna pakai sebelum itu; bertujuan memastikan kawalan integriti data yang lebih selamat dan dilindungi.

Sistem berkenaan akan ditambah baik dari semasa ke semasa demi memastikan tidak berlaku keciciran data skor PAJSK murid untuk tujuan tawaran penempatan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

"Jadi kita bangunkan sebuah sistem yang bersepadu, ada integrasi bagi memastikan kawalan dan data ini tidak mudah diceroboh dan kita dapat kawal data ini sepenuhnya, khususnya untuk sekolah-sekolah di bawah KPM.

"KPM sedang memperbaiki dan menambah baik sistem ini, integrasi data ini di sekolah swasta dan di luar KPM. Inisiatif tindakan ini akan menambah baik kaedah pengumpulan dan penyaluran data skor PAJSK murid sekolah swasta dan luar KPM dengan menyediakan akses perekodan data PAJSK yang sama seperti sekolah bawah KPM.

"Selain itu, KPM juga telah bekerjasama dengan pihak KPT bagi menyelaras data skor PAJSK agar isu ini tidak lagi berbangkit di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor berkenaan prosedur terkait PAJSK berbeza bagi sekolah selain bawah KPM susulan masalah pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di universiti pilihan pertama atau kemasukan ke SBP kerana markah PAJSK kosong.

Wan Razali juga mahu tindakan bagi kes seperti itu serta langkah-langkah penyelesaian daripada mengelakkan ia berulang.

Berkenaan keciciran markah PAJSK, bagi calon SPM 2023 seramai 4,710 murid telah menerima tawaran penempatan di IPTA selepas KPM membuat saringan semula.

Fadhlina berkata, daripada jumlah itu 954 ditawarkan tempat berdasarkan pilihan pertama permohonan, manakala seramai 2,838 lagi akan disenaraikan dalam tawaran rayuan penempatan di IPTA, berdasarkan 10 peratus markah merit PAJSK.

Ketika ini pihaknya sedang membangunkan sistem bersepadu yang khusus bagi mengelakkan keciciran markah dalam kalangan murid sekolah swasta dan bukan bawah pentadbiran KPM.

"Ketika ini proses pembangunan sistem bersepadu ini masih berjalan dan kita akan membangunkan sistem yang khususlah untuk sekolah-sekolah swasta ini dan bagi memastikan dari segi reputasi, kawalan reputasi integriti data sama seperti yang kita sedang buat untuk sekolah-sekolah KPM.

"Jadi, saya bagi jaminan perkara ini tidak akan berbangkit dan tidak akan berlaku lagi dan kita mengambil tanggungjawab penuh untuk memastikan bahwa kejadian ini tidak akan berulang lagi," katanya.

Sementara itu, bagi sekolah swasta atau selain daripada pentadbiran KPM, laporan dan pengumpulan skor PAJSK murid perlu dikemukakan melalui templat seragam khusus.

Ia perlu dikemukakan secara luar talian sebelum dihantar ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bagi tujuan tawaran ke IPTA.

"Buat sementara sebelum semua data dapat kita integrasikan dalam sistem sekolah-sekolah selain daripada bawah KPM ini akan membuat secara offline. Dan walaupun ada isu-isu yang berbangkit, KPM telah pun mengambil semua susul tindak dan kita komited untuk memastikan bahawa semua markah PAJSK anak-anak ini dapat dipenuhi dan tiada keciciran," katanya.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI