fb fb fb fb fb

Nahas pesawat Double Six: Tiada pampasan kepada waris mangsa

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan Australia bagi memberikan pampasan kepada waris mangsa nahas pesawat Double Six pada 1976 yang turut meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ini kerana Laporan Akhir Siasatan Kemalangan Udara Pesawat Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang telah diklasifikasikan semula dan diumumkan kepada awam pada 11 April 2023 dengan jelas menyatakan punca kemalangan itu adalah disebabkan kesilapan manusia.

Justeru, Kementerian Pengangkutan tidak bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan Australia bagi memberikan pampasan kepada waris mangsa.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan mendedahkan laporan akhir tragedi Double Six itu dibuat selepas mengambil kira tuntutan oleh keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tenom,Riduan Rubin mengenai adakah kementerian bercadang untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan Australia untuk memberikan pampasan kepada waris keluarga mangsa nahas pesawat Double Six yang berlaku pada 1976 sehingga meragut nyawa Fuad.

Sementara itu, Anthony menjelaskan negara menanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu yang mewakili 1.4 peratus daripada KDNK akibat kemalangan jalan raya.

Menurutnya, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding anggaran kerugian tahun sebelumnya.

Berdasarkan statistik kematian dan kecederaan parah dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laporan perangkaan kemalangan jalan raya dan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP), negara dianggarkan mengalami jumlah kerugian hampir RM18 bilion pada 2010 iaitu 2.2 peratus daripada KDNK.

Jelasnya menerusi jawapan bertulis di parlimen,ia meningkat kepada lebih RM25 billion pada 2023.

Bagi mengatasi masalah itu, pihaknya telah membangunkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022- 2030 (PKJRM 2022-2030).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD