fb fb fb fb fb

Kod tatalaku media sosial fokus tiga isu jenayah - Fahmi

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 8 September- Kod tatalaku baharu akan memfokuskan tiga isu jenayah utama sebagai garis panduan kepada platform media sosial yang beroperasi di Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata isu tersebut adalah penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual kanak-kanak.

"Ketiga-tiga isu ini adalah isu paling besar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi maklum bahawa platform-platform (media sosial) pada waktu ini tidak begitu proaktif dalam menangani jenayah," katanya.

Fahmi berkata sesi libat urus pertama mengenai garis panduan tersebut telah diadakan pada 3 September lalu.

Sehubungan itu tindakan undang-undang akan diambil terhadap penyedia platform yang gagal mematuhi garis panduan tersebut.

"Kita harap menjelang hujung Oktober atau November akan selesai dan semua pihak akan memahami garis panduan serta kod tatalaku yang perlu dipatuhi oleh platform itu nanti," katanya.

Katanya ketika ini kandungan media sosial yang berkaitan dengan kanak-kanak menguna pakai Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin cacar air dan papilomavirus manusia (HPV) di dewan serbaguna di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi dekat Lembah Pantai di sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA