fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Tumpu stabilkan inflasi, kos sara hidup

Anwar Ibrahim/BERNAMA

PORT DICKSON, 8 September- Kerajaan akan memberi tumpuan kepada beberapa strategi dalam menstabilkan inflasi sekali gus menangani kos sara hidup rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2025 bulan depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hal ini kerana di bawah Kerajaan MADANI ketika ini, kadar inflasi negara berada pada tahap dua peratus dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.9 peratus bagi suku kedua tahun ini.

"Saya baru balik dari Vladivostok, Rusia. Jumpa Presiden Vladimir Putin. Ada soal jawab orang tanya (berkaitan) inflasi kita, dua peratus dan ada beberapa bidang makanan tiga atau 3.5 peratus, itu pun jenuh kita nak kawal.

"Saya mahu jadikan strategi belanjawan Oktober ini bagaimana tangani masalah kos sara hidup … berbanding negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura, inflasi kita rendah," kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di sini hari ini.

Justeru, Anwar berkata kerajaan sentiasa serius dalam menguruskan ekonomi, selain mengelakkan pembaziran dalam pelbagai perkara.

Pada 22 Ogos lepas, media melaporkan inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus sejak Mei 2024 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dalam laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Julai 2024.

DoSM dalam kenyataan melaporkan inflasi itu didorong oleh peningkatan dalam kumpulan utama termasuk restoran dan perkhidmatan penginapan (3.4 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2 peratus); rekreasi, sukan dan budaya (2.2 peratus) dan kesihatan (1.9 peratus).

Sementara itu, Anwar sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan siasatan kes terhadap mana-mana individu atau pemimpin dan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

"Kita tengok sekarang setiap minggu ada saja skandal baharu, ada orang kata kerana Anwar berdendam. Tak betul, kita kena hentikan amalan pimpinan yang guna kuasa untuk cari kekayaan peribadi.

"Saya harap semua betul-betul faham. Saya tak kira siapa dalam soal siasatan, siapa salah, ada kes curi motosikal atau merompak itu kerja polis, mereka tidak tanya saya boleh siasat atau tidak," katanya. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA