fb fb fb fb fb

RM1 juta untuk Kampung Temerlok, bangun empat projek utama

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA

TRONG, 24 Ogos - Sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada Kampung Temerlok di sini menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan itu digunakan untuk membangunkan empat projek utama yang sekali gus memberi nafas baharu kepada penduduk di kampung berkenaan.

Jelas beliau, antara projek yang dilaksanakan ialah menaik taraf Jeti Nelayan Sungai Tok Lin, baik pulih bangunan Sekolah Agama Rakyat Al-Mahmudiah, naik taraf Pusat Pemindahan Banjir di SK Temerlok dan pembaikan Masjid Al-Mahmudiah.

"Dengan adanya pendekatan Kampung Angkat MADANI, ia menunjukan satu pendekatan program pembangunan untuk komuniti rakyat, masyarakat dan juga kehidupan yang lebih baik.

"Ini sebenarnya akan menyumbang kepada peningkatan keyakinan rakyat kepada kesungguhan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini.

Semua projek berkenaan adalah bukti jelas denyut nadi rakyat luar bandar sentiasa dekat di hati kepimpinan negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI