KOTA TINGGI, 24 Ogos - Kementerian Pertahanan telah membuka tender baharu bagi penyewaan empat helikopter untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM), selepas kontrak sewaan helikopter Black Hawk dibatalkan berikutan kegagalan syarikat untuk memenuhi tempoh penghantaran ditetapkan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penilaian rapi sedang dilakukan, termasuk mengambil kira teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Jenis helikopter berkenaan masih belum diputuskan dan akan bergantung kepada syarikat yang mengemukakan tawaran tender tersebut.
"Sekarang ini, oleh kerana ada keperluan untuk menggunakan helikopter, maka pihak kementerian telah membuka tender untuk penyewaan empat buah helikopter bagi kegunaan tentera darat. Kita akan teliti semasa penilaian dengan mengambil kira pandangan-pandangan yang dititahkan oleh tuanku," katanya.
Proses tender itu dijadual ditutup pada hujung bulan depan dengan penilaian turut merangkumi aspek teknikal serta tempoh hayat helikopter.
Minggu lalu, Sultan Ibrahim bertitah agar MINDEF membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia 30 tahun serta mengingatkan kementerian agar tidak mengulangi kesilapan lalu.