KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Projek Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1 dimulakan melibatkan hampir RM1 bilion dengan keluasan hampir 11,000 hektar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia mampu meningkatkan hasil padi 15 peratus selain melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sebanyak 43 peratus.
“Pengurusan padi di Sekinchan, Sabak Bernam terbukti menghasilkan padi lebih banyak sehingga 12 tan sehektar.
“Kerajaan akan memulakan projek rintis bagi memperoleh baja termasuk baja organik mengikut kawasan penanaman padi secara tender terbuka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kesejahteraan pesawah dan nelayan terus dipelihara dengan sejumlah RM2.78 bilion disediakan sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan, meningkat ketimbang RM2.6 bilion.
Anwar berkata RM300 juta juga disediakan bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri tahun hadapan, menokok ketimbang RM150 juta tahun ini.
Beliau berkata ia antaranya bagi menyokong pengeluaran bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan peningkatan hasil padi di Negeri Sembilan.
“Kerajaan bersama badan swasta akan memanfaat hampir 8,800 ekar tanah terbiar milik Lembaga Kemajuan Willayah dan agensi rangkaian mereka untuk melaksanakan projek pertanian seperti perusahaan ayam organik dan lembu,” katanya.
Beliau berkata antara kelemahan ketara adalah kebergantungan yang tinggi kepada import makanan walhal mempunyai kesuburan tanah dan kemampuan meningkatkan keterjaminan makanan negara.