BAGAN DATUK, 27 November - Taburan hujan luar biasa dalam tempoh singkat dikenal pasti menjadi punca banjir di beberapa negeri terutama di kawasan baharu.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim menjelaskan, jumlah hujan dalam tempoh dua hari di beberapa kawasan menyamai taburan hujan untuk sebulan menyebabkan air sukar diserap tanah.
"Banjir kali ini bukanlah disebabkan peningkatan paras air sungai kerana bacaan Jabatan Pengairan dan Saliran tidak menunjukkan sebarang peningkatan ketara," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan terjejas banjir di sini.
Beliau memberitahu, beberapa kawasan yang jarang berlaku banjir di Perlis dan Manjung, Perak turut terjejas kali ini.
Tambah beliau, Monsun Timur Laut (MTL) kali ini dijangka membawa tujuh episod hujan lebat.
"Banjir yang sedang berlaku ketika ini merupakan episod pertama dan dijangka berakhir dalam minggu ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Meor Ismail berkata kesiapsiagaan menghadapi MTL berjalan lancar setakat ini.
"Tiada laporan kegagalan sistem amaran banjir di seluruh negara malah tahap kesedaran penduduk untuk berpindah lebih awal juga dilaporkan baik," ujarnya.