fb fb fb fb fb

Jentera, aset Selangor siap siaga hadapi Ribut Tropika Senyar

Foto RTM

SHAH ALAM, 27 November - Selangor meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi Ribut Tropika Senyar yang kini dikesan merentasi Selat Melaka dan dijangka menjejaskan pesisir pantai barat negeri dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, keselamatan rakyat menjadi keutamaan memandangkan ini kali pertama Selangor dijangka berdepan fenomena ribut tropika.

Sebanyak 1,173 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri kini berada dalam keadaan siap siaga, dengan kapasiti menampung lebih 244,000 penduduk dan sedia untuk digunakan jika fenomena itu menyebabkan paras air naik mendadak.

"PPS terlibat termasuklah sekolah, masjid, dewan dan balai raya yang telah lengkap dengan keperluan asas," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut memperkukuh aset logistik dengan menempatkan 344 jentera meliputi kenderaan pacuan empat roda dan lori muatan berat, selain 227 bot bagi tujuan penghantaran bantuan serta operasi mencari dan menyelamat.

Di samping itu, 45 stesen siren amaran akan diaktifkan sekiranya paras air mencapai tahap bahaya.

Beliau juga mengingatkan penduduk agar mematuhi arahan pemindahan sekiranya siren dibunyikan dan segera mendaftar di PPS terdekat.

"Saya ‎menyeru setiap rakyat Selangor untuk berada dalam keadaan siap siaga ‎bagi sebarang amaran serta arahan pemindahan yang diberikan oleh ‎pegawai berkuasa ataupun ketua komuniti masing-masing. Sekiranya siren di kawasan perumahan anda dibunyikan dan arahan pemindahan diberikan, patuhi arahan pemindahan," katanya.

‎‎Dalam kenyataan sama, Datuk Seri Amirudin menegaskan keutamaan kerajaan negeri adalah untuk memastikan keselamatan setiap penduduk sepanjang fenomena berkenaan yang dijangka bermula seawal tengah malam ini hingga Sabtu.

EZA YUSMAWATI YAACOP