fb fb fb fb fb

Lebih 6,000 rakyat Malaysia terperangkap banjir di Thailand, berjaya dibawa pulang - PM

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 November – Lebih 6,000 rakyat Malaysia yang terperangkap akibat bencana banjir di Thailand telah selamat tiba ke tanah air sejak operasi menyelamat digerakkan pada Ahad lalu.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata misi berkenaan dilaksanakan dengan sebahagian besar disumbangkan oleh hampir 20 badan sukarelawan Malaysia yang digerakkan dengan kerjasama Wisma Putra, termasuk 13 pasukan bomba sukarela, selain bantuan Kerajaan Thailand.

Beliau turut menyatakan rasa terharu melihat keberanian dan kegigihan pasukan sukarelawan yang sanggup meredah banjir dan berdepan risiko demi menyelamatkan sesama rakyat Malaysia.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya berikan kepada wira-wira kita,” katanya.

Pada masa sama beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) atas segala bantuan dan koordinasi dalam menguruskan 36 pelajar serta pensyarah UUM yang turut terkandas di Hatyai.

“Penat lelah dan komitmen semua pihak dalam memastikan keselamatan mereka mencerminkan keprihatinan, kepedulian dan semangat kebersamaan yang begitu tinggi tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang,” tambah beliau.

Perdana Menteri juga memohon agar rakyat terus menitipkan doa supaya setiap langkah para sukarelawan dan seluruh pasukan dipermudah dalam meneruskan misi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di Thailand.

Kerajaan melalui Wisma Putra akan terus memantau rapat situasi ini dan menghulurkan bantuan secepat mungkin.

EZA YUSMAWATI YAACOP