PETALING JAYA, 3 Mei- Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri di Semenanjung dan Sabah sehingga 5.00 petang ini.
METMalaysia dalam kenyataan memaklumkan amaran itu melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan) dan Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar).
Amaran sama turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Selangor (Klang, Kuala Langat dan Sepang) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Selain itu, keadaan cuaca sama dijangka melanda negeri Sabah melibatkan pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Ranau), Tawau (Tawau dan Lahad Datu) dan Sandakan.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.