KUALA LUMPUR 3 Mei- Seramai 48,319 tahanan sudah dipindahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke negara asal melalui 18 depot kekal, dua depot sementara dan enam Baitul Mahabbah di seluruh negara setakat Disember tahun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, depot di seluruh negara hanya mampu menampung seramai 21,530 orang tahanan.
Menurutnya, bagi mengurangkan kesesakan di depot, beberapa langkah diambil sehingga 31 Disember lalu dan seramai 48,319 tahanan sudah dipindahkan ke negara asal.
“Pecahan terdiri 34,702 lelaki, 11,540 wanita 1,176 kanak-kanak lelaki dan 901 kanak-kanak perempuan.
“Langkah yang diambil mengurangkan kesesakan termasuk penyediaan pengangkutan feri bagi pemindahan tahanan warganegara Filipina dari Pelabuhan Sandakan, Sabah ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina bagi tempoh dua tahun bermula 4 September 2023.
“Penyediaan perkhidmatan sewaan feri bagi penghantaran pulang tahanan warganegara Indonesia dari Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025,” katanya.
Selain itu, langkah lain adalah penyediaan perkhidmatan sewaan feri bagi penghantaran pulang tahanan warganegara Indonesia di Depot Semenanjung Malaysia dari Pelabuhan Pasir Gudang ke Pelabuhan Tanjung Pinang, Indonesia bagi tempoh dua tahun iaitu bermula 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2026.