fb fb fb fb fb

LIMA’25 sedia terima pengunjung mulai 20 Mei

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mencuba senjata api yang dipamerkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Program Veteran Desa MADANI di Pekarangan Masjid Jamek Tengku Muhammad Fa-iz Petra hari ini / Foto Bernama

GUA MUSANG, 3 Mei — Persiapan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) kini mencapai tahap 100 peratus dan bersedia menerima pempamer, tetamu serta pengunjung bermula 20 hingga 24 Mei ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata edisi ke-17 pameran anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersama Global Exhibitions and Conferences Sdn. Bhd. (GEC) itu kini dalam fasa memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) bersama agensi dalam dan luar negara.

“Persiapan kita sudah 100 peratus. Setakat ini kita sedang melengkapkan aturan bagi memastikan penglibatan industri dan tetamu luar negara berjalan lancar. LIMA adalah medan penting kerana melibatkan dua aspek iaitu maritim dan aeroangkasa, di samping peluang menjalin lebih banyak persefahaman, khususnya dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Veteran Desa MADANI di Masjid Jamek Tengku Muhammad Fa-iz Petra, di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sophian Isswandy Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim.

Adly berkata, penganjuran LIMA’25 dijangka memberi pelbagai manfaat kepada Malaysia, selain memperkukuh kerjasama pertahanan dan industri dengan negara-negara yang terlibat. Beliau turut berharap penganjuran edisi kali ini berjalan lancar seperti dirancang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN