PAPAR 3 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa harga telur di pasaran akan terus dikawal meskipun kerajaan memutuskan untuk mengurangkan subsidi bermula 1 Mei lalu.
Pemantauan secara berkala akan dilaksana bagi memastikan bekalan kekal stabil dan harga tidak dinaikkan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah pengurangan subsidi tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama pelbagai agensi sejak sekian lama.
Menurut beliau, kerajaan juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN untuk memantau kestabilan harga dan bekalan telur secara berkala, sekurang-kurangnya setiap dua bulan.
Datuk Armizan berkata dalam sidang media sempena Sesi Turun Padang dan Pelancaran Produk RON97 di Stesen Minyak Petronas Kimanis.
Tambah beliau, KPDN akan terus melakukan pemantauan menerusi operasi khas bersama Kementerian Pertanian dan platform aduan sedia ada juga boleh digunakan oleh orang ramai untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan terhadap harga kawalan.
Beliau turut menggesa peniaga supaya mematuhi arahan kawalan harga dan tidak mengambil kesempatan atas langkah pengurangan subsidi tersebut.