fb fb fb fb fb

13 rumah rosak akibat ribut di Kedah

Foto APM Bandar Baharu

BANDAR BAHARU, 11 April- Sebanyak 13 rumah di daerah Bandar Baharu dan Kuala Muda mengalami kerosakan akibat kejadian ribut, semalam.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah, kejadian itu membabitkan lapan rumah di Kampung Padang, Bandar Baharu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata lapan rumah rosak akibat ribut tersebut.

"Kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bumbung kerana diterbangkan angin kuat.

"Kejadian pokok tumbang turut menghempap rumah dan garaj kereta," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata kejadian angin kencang juga berlaku di Kampung Alor Bemban, Kuala Muda.

Menurutnya, insiden tersebut melibatkan lima rumah dari tiga mukim.

"Seramai 17 mangsa terlibat dalam insiden ribut di Kuala Muda.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kit bantuan awal juga turut diberikan kepada isi rumah yang terjejas," kata Azahar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM