fb fb fb fb fb

Ribuan ikan mati di Sungai Kinta bukan berpunca pencemaran air

Teh Kok Lim

IPOH, 12 Julai - Insiden ribuan ikan mati di Sungai Kinta, di sini yang tular di media sosial baru-baru ini disahkan bukan berpunca daripada pencemaran air, sebaliknya dipercayai akibat tindakan pihak tertentu yang membuang ikan ternakan secara terbuka ke dalam sungai.
 
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Teh Kok Lim memaklumkan, hasil siasatan bersama Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan mendapati kualiti air sungai berada dalam keadaan baik, tanpa kesan pencemaran toksik atau gangguan terhadap ekosistem semula jadi.
 
Ikan-ikan yang mati dikenal pasti sebagai spesies tilapia hitam bersaiz seragam dan bukan berasal dari habitat semula jadi sungai.

"Pada masa ini kita tidak dapat mengesan siapa yang melakukan perkara tidak bertanggungjawab ini.

"Tetapi saya menyeru kepada semua pihak untuk melakukan tindakan kendiri sekiranya berdepan dengan situasi berhubung ternakan ikan. Jangan membuang ikan-ikan ini merata-rata," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Grand Prix Memburu Ikan Asing, anjuran Jabatan Perikanan Negeri Perak Siri 1/2025 di Dataran Taman D.R Seenivasagam, di sini.
 
Tindakan membuang bangkai ikan secara sembarangan ke dalam perairan adalah tidak bertanggungjawab, kerana boleh mencetuskan pencemaran dan penularan penyakit, lebih-lebih lagi jika melibatkan ikan berpenyakit.
 
Pengarah Perikanan Negeri Perak Mohd Ghazali AbduL Manap berkata, kerajaan negeri itu dalam peringkat akhir memuktamadkan dua kaedah pengurusan perikanan baharu, iaitu Kaedah Perikanan Sungai Perak dan Kaedah Akuakultur Perikanan Darat.

"Antaranya kita ada memasukkan mengenai penubuhan santuari spesies asli seperti kelah dan arowana. Selain itu ia turut melibatkan pelesenan vesel penangkapan, peralatan perlesenan nelayan sama ada sungai atau musim-musim tertentu," katanya.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Skuad Pemburu Ikan Asing Malaysia (SPIA) Mohamad Haziq A. Rahman berkata, berlaku peningkatan ketara populasi spesies ikan asing invasif, terutamanya ikan bandaraya, di beberapa sungai utama di negeri itu.
 
"Sehingga Julai tangkapan sudah mencapai 52 tan yang majoritinya ikan bandaraya. Kami memberi fokus kepada spesies berkenaan kerana ia berada dalam hierarki tertinggi dalam perairan negara.

"Lambakan spesies ini akan mendominasi perairan kita selain mengancam spesies ikan tempatan," katanya.
 
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan mengingatkan orang ramai bahawa sebarang pelepasan spesies ikan ke dalam perairan awam memerlukan kebenaran dan tertakluk bawah Akta Perikanan 1985.
 
Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak menjadikan sungai sebagai tempat pelupusan bangkai ikan, demi memelihara kelestarian dan keseimbangan ekosistem perairan negara.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI