KUALA BERANG, 12 Julai – Projek Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di Terengganu yang dilancarkan hari ini, mampu menarik pelabur daripada negara serantau dan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju hab tenaga boleh baharu yang berdaya saing.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berimpak tinggi meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau tenaga alternatif baharu di samping menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).
Projek ini juga menandakan kerjasama strategik erat antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat Persekutuan dan Negeri melibatkan Tenaga Nasional Berhad Genco (TNB Genco), PETRONAS dan Terengganu Inc.
"kita tekankan umpamanya keperluan peralihan tenaga dan kenyir merupakan satu kekuatan hidro tetapi kini ditambah dengan permulaan kerjasama dua gergasi petronas tnb untuk menakodai satu projek asal solar dan sekarang hidrogen hijau ini semua yang merupakan beberapa penyelidikan yang mengarah kepada tenaga alternatif baru bersih dan hijau yang telah disepakati di peringkat antarabangsa dan juga menjadi dasar tenaga negara kita ", kata Perdana Menteri semasa berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud di Kenyir
Turut hadir Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.
Pelancaran Hab Hidrogen Hijau turut membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi hidrogen Malaysia menerusi penghasilan vektor tenaga bersih melalui teknologi elektrolisis air bertenaga boleh baharu.