fb fb fb fb fb

KPWKM perhalusi RUU Pekerja Sosial

Datuk Seri Nancy Shukri

LUNDU, 12 Julai - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang memperhalusi Rang Undang-Undang RUU Pekerja Sosial yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, setakat ini sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sedang dijalankan secara menyeluruh merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Ia bagi mendapatkan maklum balas berhubung draf RUU tersebut yang sedang melalui proses perundangan.

"Kementerian turut membuka ruang maklum balas awam secara dalam talian sehingga 13 Julai ini melalui kod QR dan platform media sosial rasmi," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi Taklimat Perkhidmatan Agensi-Agensi Utama bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

RUU itu akan digubal berasingan daripada Akta Kerja kerana sifat dan skop kerja sosial adalah khusus dan unik.

Justeru RUU berkenaan akan menetapkan definisi jelas berkenaan individu yang layak digelar pekerja sosial, termasuk bidang tugas dan tanggungjawab sekali gus memberi perlindungan kepada mereka.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI