ALOR SETAR, 8 November - Ribuan pengunjung hadir memeriahkan program Temasya Oghang Kedah 2024 yang diadakan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar. Program tersebut bermula semalam sehingga Ahad ini.
Program dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah, Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi dan Nabilah Bahrin Group.
Bersempena program itu, Selamat Pagi Malaysia (SPM) turut bersiaran secara langsung di saluran TV1, pagi tadi.
Program dihoskan oleh Ismail Adnan dan Raja Sufie itu, turut dimeriahkan dengan kehadiran pempengaruh media sosial terkenal, Nabilah Bahrin atau lebih dikenali sebagai Kak Nab, Adik Haziq dan Summayah.
Selain itu, KEDAHfm turut memeriahkan program dengan penampilan beberapa penyampai radio antaranya, Dj Nazri dan Dj Bazz.
Pelbagai jenis juadah dan masakan yang tular di media sosial turut dijual pada program berkenaan.
Temasya Oghang Kedah (TOK) adalah Program Pelancongan Budaya yang akan mengangkat serta melestarikan seni budaya masyarakat Kedah di samping mempamerkan warisan terdahulu yang menjadi amalan untuk dirasai, dihayati dan diwarnai oleh generasi hari ini.