PUCHONG, 8 November - Sebanyak lapan lokasi di seluruh negara bakal dijadikan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.
Ketua Pengarah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata ini melibatkan negeri Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terangganu, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, setakat ini PPK di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi yang dinaik taraf siap digunakan untuk menempatkan 400 penduduk terjejas banjir.
Jelasnya lagi, PPK di enam negeri masih di peringkat runding cara melibatkan pelbagai aspek, manakala bagi negeri Sabah dan Sarawak pembinaannya bawah kerajaan negeri.
"Proses pembinaan PPK ini adalah satu struktur lengkap dan memerlukan spesifikasi teknikal daripada agensi terbabit seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kesesuaian serta reka bentuk.
"Ini mengambil masa 15 bulan untuk mengenal pasti kesesuaian tapak sehingga siapnya pembinaan," katanya pada sidang media selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, dengan adanya PPK yang dianggarkan kos pembinaan sehingga RM5 juta setiap satu, akan dilengkapi pelbagai kemudahan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan penduduk terjejas banjir.