PUCHONG, 8 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) mencapai tahap kemuncak bermula hujung November hingga Disember ini, melibatkan negeri bersempadan dengan Thailand, manakala bagi negeri Sabah dan Sarawak sehingga bulan Mac depan.
Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, situasi itu berdasarkan ramalan jangka panjang kebanyakan model menunjukkan akan menerima lebih 20 hingga 40 peratus taburan hujan berbanding tahun lepas.
"Berdasakan majoriti model antara border (sempadan) Thailand, Malaysia akan berlaku hujan lebih sedikit daripada purata antara 20 ke 40 peratus pada November dan Disember, begitu juga di Sabah. Sabah lebih panjang sehingga ke Februari atau Mac (2025).
"Seminggu ke depan ini, kita jangkakan keadaan cuaca lembap yang sedang berlaku sekarang ini, berlanjutan ke beberapa hari ini di negeri pantai timur, juga di negeri utara.
"Sebab kita tengok ada pergerakkan angin yang membawa kelembapan tinggi akan berlaku hujan, jadi negeri ini kemungkinan akan mengalami cuaca lembap beberapa hari ini," jelasnya.
Mohd Hisham berkata demikian dalam sidang media selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) di sini hari ini.
MTL merupakan musim hujan utama di Malaysia. Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama-sama dengan luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat, sering menyebabkan banjir besar di negeri-negeri pantai timur Semenanjung iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, serta Sarawak dan Sabah di Malaysia Timur.