fb fb fb fb fb

Remaja tanggung kesakitan lebih sejam, tangan tersepit mesin proses santan

Foto Bomba

PENDANG, 28 Mac - Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun terpaksa menahan kesakitan lebih satu jam selepas tangan kirinya tersepit di dalam mesin memproses santan.

Kejadian berlaku di Kampung Padang Durian, Pendang, Kedah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pendang Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada talian Mers 999 kira-kira pukul 9.11 malam.

Sebuah jentera dan EMRS Pendang telah diarah ke lokasi kejadian.

"Maklumat awal yang diterima di lokasi kejadian, tangan kiri seorang remaja perempuan didapati tersepit di dalam mesin memproses santan. Tindakan awal mengeluarkan tangan yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas," kata Muhammad Ezzat menerusi satu kenyataan.

Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian tangan kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Operasi tersebut tamat pada pukul 10.18 malam.

TETITIA YUSOFF